Selamat Ulangtahun PDF Print E-mail
Written by Nazri Abdullah   
Sunday, 25 September 2011 19:07

 

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, padaNya selayaknya kita bersyukur. Nikmat pemberiannya merangkumi segala-gala yang kita terima terkhusus nikmat iman dan Islam. Hari ini, tanggal 25 September 2011 hampir-hampir kita terlupa akan satu detik sejarah yang telah sama- sama kita cetuskan . Setahun lalu, kita; pendengar, akhbar, politikus, usahawan, pendakwah, pemerintah, deejay, kakitangan awam dan swasta umumnya telah melahirkan satu wadah islamik yang kita namakannya Cahayafm.

Tepat 12.00 pagi tadi, genaplah usia setahun Cahayafm di persada talian tanpa sempadan. Beberapa jam lagi usianya akan memasuki tahun kedua dan perjalanan seterusnya masih samar kerana kita tidak mungkin dapat menjangka apa peristiwa seterusnya dalam episod ini. Segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah kerana kita sama-sama berjaya mengharungi perjalanan setahun meski terpaksa berdepan pelbagai ujian. Mudah-mudahan ujian-ujian itu tbukan sekadar tempuhan melainkan kita mendapat cebisan pengalaman dan manfaat berguna darinya.

Dalam kesempatan ini, mari kita sama-sama imbas perjalanan setahun Cahayafm. Moga kembalian ingatan ini memberi ruang untuk kita mengutip mutiara-mutiara tertitip sekali gus menjadikannya sebagai pengukur kemampuan Cahayafm. Tidakpun,anggap sajalah ia sebagai baja yang bakal membentuk pembesarannya kelak.

Dalam jangka masa setahun, Cahayafm antaranya telah berjaya mewujudkan satu lagi cabang siaran atas talian iaitu Bacaan Quraan beserta tafsirannya dalam Bahasa Melayu. Selain itu, ceramah yang dikeudarakan 24 jam juga merupakan kejayaan kedua Cahayafm pada tahun yang sama meskipun ia masih dalam proses penambahbaikan. Selain dua perkara ini, Cahayafm yang juga media rasmi Suara mualaf Sabah terlibat secara langsung dalam program pengislaman di beberapa buah kampung di sebelah Utara Sabah. Sejumlah 16 orang telah diislamkan baru-baru ini dengan kerjasama pihak jabatan agama, orang perseorangan, pihak akhbar , TV dan masyarakat setempat.

Cahayafm sebenarnya masih terkekang dalam banyak hal. Apa yang jelas, Cahayafm masih gagal ke udara secara istiqamah. Hakikatnya, setiap deejay punya komitmen masing-masing dan tumpuan mereka bukan hanya kepada Cahayafm. Hampir semua deejay terlibat mengalami kerosakan PC dan laptop bukan sekali malah berkali-kali. Selain itu, talian yang kurang memberangsangkan turut tidak mengizinkan mereka ke udara. Jelas, para deejay dalam hal ini telah mengusahakan banyak hal semampu mereka semata-mata untuk kesinambungan wadah Cahayafm. Seharusnyalah keterlibatan para deejay dirai dengan imbuhan atau sekurang-kurangnya dijaga kebajikan mereka. Namun, dalam hal ini, Cahayafm belum mampu menyediakan perkara-perkara ini. Akhirnya, hanya Allahlah yang selayaknya menilai dan mengimbali usaha-usaha mereka.

Sebagai rumusan dan renungan bersama, kita tidak mungkin dapat meletakkan apa-apa ukuran berbentuk pemarkahan dan seumpamanya kepada Cahayafm dalam jangka waktu setahun. Jika dianalogikan sebagai anak kecil, dalam usia ini, dia belum pandai bercakap, belum pandai berpakaian, belum tahu membuat susu dan masih dalam serba serbi belum tahu. Tidak seperti Sang Dewasa yang sudah kenal dan tahu tentang sebuah kehidupan. Apa yang pasti, kita sama-sama tahu yang anak sekecil ini sudah tahu mengenal senyuman khususnya senyuman ibu dan bapanya. Pun begitu, kekadang kita akan terdengar juga sebutan pelatnya menyebut nama kedua nama ibu bapanya. Namun, kita tidak akan menghukumnya sebagai kesalahan justeru kekecilannya dan kenaifannya.

Anak kecil. Ketika meninggalkannya berhari-hari, masa itulah kita akan merinduinya, apatah lagi berminggu dan berbulan. Namun, benarkah Cahayafm sama dengan Si Kecil ? Moga kita akan sama-sama lagi menjaganya, membesarkannya dan melindunginya. Inilah harapan kita. Kenapa kita? Kerana ia bukan milik perseorangan tapi milik kita bersama. Kepada semua deejay yang terlibat secara langsung selama ini, Cahayafm mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan dan jasa yang kalian taburkan. Apapun keadaan, anda adalah anggota Cahayafm yang berjasa.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa agar kewujudan Cahayafm ini tidak terhenti di sini, malah akan terus bertahan. Selamat ulangtahun ke-1 buat Cahayafm.

 
 

Pendapat Anda?

Perlukah Cahaya.FM mempunyai penyampai dari setiap negeri di Malaysia?
 
Jika Cahaya.FM sanggup memperjuangkan Islam, sanggupkah anda membantu Cahaya.FM demi Islam?
 
Apa yang paling anda suka tentang Cahaya.FM?